Proceedings of the 1st International Conference on Language, Literature, Culture & Education 2014
ISBN 978-967-13140-0-5

Menghayati Tiga Novel Melayu Tulisan Penulis Orang Kurang Upaya Penglihatan Dari Sudut Pengalaman Estetika Sastera

Zakaria Osman, Adifarizal Mohd Ariffin

Universiti Kuala Lumpur

ABSTRACT

Novel merupakan genre sastera yang menyajikan cerita panjang1 yang lazimnya mengisahkan pergolakan masyarakat dari kaca mata penulisnya. Di dalamnya terpapar konflik yang dihadapi manusia, emosinya, tingkah-lakunya, suasana persekitarannya dan pemikiran masyarakat sezamannya. Dalam pembentangan kertas kerja kali ini, saya berhasrat untuk mengajak hadirin merenung beberapa novel yang dihasilkan oleh beberapa penulis kurang upaya penglihatan dan menghayati kupasan mereka tentang pergolakan manusia tanpa mampu melihatnya dari deria penglihatan mereka. Pengkaji merasakan amat menarik untuk dikupas bagaimana penulis-penulis ini menyajikan tafsiran mereka terhadap tingkah-laku, emosi, pelbagai ekspressi watak yang pada hakikatnya tidak dapat dilihat mereka. Pengkaji berminat untuk cuba menghayati beberapa karya penulis-penulis orang kurang upaya penglihatan dari sudut tanggapan estetika sastera dan berkongsi pandangan tentang keberkesanan pengalaman estetika yang mungkin dikecapi daripada penghayatan tersebut. Sebagai seorang yang juga kurang upaya penglihatan, pengkaji mahu mencuba untuk menghayati novel-novel berkenaan daripada persamaan pengalaman dengan penulis-penulis berkenaan. Untuk mencapai hasrat ini, pengkaji memilih tiga penulis orang kurang upaya yang boleh dianggap produktif iaitu Mohd Ghazali Toceh, Norhashimah Hashim dan Anjang Ali. Melalui tiga buah novel yang dihasilkan mereka, pengkaji berhasrat untuk cuba menghayati sejauh manakah keindahan estetika dari sudut isi dan ekspresi yang terdapat dalam novel-novel berkenaan. Diharap kajian ini sedikit sebanyak dapat mengajak hadirin untuk lebih memahami bagaimana sensitiviti orang kurang upaya penglihatan menghayati ragam manusia di sekelilingnya melalui novel-novel yang dihasilkan.

KEYWORDS

novel-novel Melayu, penulis orang kurang upaya penglihatan dan pengalaman estetika sastera.

Back to Table of Contents
Download Full Paper (PDF)