Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
Kajian ini merupakan suatu analisis kesilapan penggunaan gender gramatikal yang dilakukan oleh pelajar ketika menstruktur ayat dalam penulisan bahasa Sepanyol. Seramai 30 pelajar yang mengambil Kursus Elektif Bahasa Sepanyol Komunikasi Tahap I (Asas) di Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dipilih. Pelajar terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Pelajar dikehendaki menulis satu esei pendek mengenai diri sendiri dan masa diberikan selama 45 minit bagi menguji kefahaman dan aplikasi gender gramatikal dalam bahasa Sepanyol. Kepelbagaian bahasa pelajar dan kecekapan BS yang rendah dapat menyumbangkan kepelbagaian jenis kesilapan yang dilakukan. Kajian ini akan menggunakan Surface Strategy Taxonomy oleh Dulay, Burt dan Krashen (1982). Hasil kajian menunjukkan pelajar mempamerkan kefahaman yang minimum terhadap gender yang dikaitkan dengan kata adjektif dan mengalami kesukaran untuk menghubungkaitkan kata nama dengan artikel dan kata adjektif yang bersesuaian, terutamanya apabila ia melibatkan (objek) kata nama tidak bernyawa. Pengkaji mendapati kesilapan pemilihan, pengurangan, penambahan dan terjemahan yang dilakukan oleh pelajar adalah disebabkan oleh ketidakpekaan dan ketidakfahaman mereka tentang unsur gender dan aplikasinya. Kekeliruan juga berlaku akibat pengaruh daripada bahasa ibunda (B1) dan bahasa kedua (B2) pelajar yang tidak mempunyai langsung unsur gender gramatikal. Perbezaan inilah yang menyebabkan pelajar Malaysia mempunyai kesukaran untuk memahirkan diri mereka dalam usaha menggunakan gender gramatikal yang sesuai ketika menstruktur ayat dalam bahasa Sepanyol.
Kesilapan, gender gramatikal bahasa Sepanyol, proses menstruktur ayat, aplikasi, Surface Strategi Taxonomy