Proceedings of the 1st International Conference on Language, Education & Innovation 2015
ISBN 978-967-13140-1-2

Kaedah Bermain Dalam Meningkatkan Minat Murid Orang Asli Terhadap Sains

Haslinda Bt Tahir Shah, Lilia Halim, Zanaton Iksan

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRACT

Pendidikan merupakan perkara utama yang berupaya mempengaruhi pembangunan diri dan mencorakkan masa hadapan individu. Transformasi kurikulum yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan September 2012 telah mengambil beberapa pendekatan baharu untuk diserapkan dalam bidang pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia turut memberi perhatian khusus kepada pendidikan Orang Asli kerana kadar penyertaan dan penguasaan 3M mereka masih rendah sementara ketidakhadiran dan kadar keciciran mereka yang tinggi. Kajian ini merupakan kajian kualitatif bagi melihat kaedah bermain dalam meningkatkan minat murid orang asli terhadap sains. Tujuan utama kajian ini adalah untuk meningkatkan minat murid-murid orang asli terhadap subjek Sains. Dalam konteks kajian yang melibatkan murid Orang Asli, kaedah bermain merupakan medium pengajaran yang berkesan bagi anak-anak Orang Asli menyukai pendidikan yang tidak formal khasnya yang menawarkan kebebasan dengan melakukan aktiviti yang lebih mencabar dengan alam sekeliling. Bagi mencapai tujuan tersebut pengkaji telah membina satu modul kembara Sains dan menjalankan kajian lapangan terhadap 35 orang murid di SK Sungai Melut (A), Sepang, Selangor. Hasil daripada kembara ini, temu bual dilaksanakan kepada 6 orang guru bagi mendapat maklum balas mengenai kembara sains tersebut. Sesi temubual dijalankan dengan menggunakan protokol yang dibangunkan oleh penyelidik. Konsep bermain sambil belajar penting untuk kanak-kanak membangunkan diri, mengambil tanggungjawab dan merasa diri mereka dihargai. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kaedah bermain melalui aktiviti kembara Sains dapat meningkatkan minat mereka terhadap subjek Sains disamping memupuk sikap bekerjasama. Kajian ini akhirnya mencadangkan agar kajian serupa dengan penggunaan instrumen kajian lain dijalankan bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian ini.

KEYWORDS

Orang Asli, kaedah bermain, kembara Sains

Back to Table of Contents
Download Full Paper (PDF)