Universiti Sains Islam Malaysia
Makalah ini membincangkan aspek penjiwaan bahasa dalam proses pengajaran & pembelajaran (P&P) bahasa Arab. Melalui konsep penjiwaan, penutur sesuatu bahasa dapat memahami dan menghayati dengan mudah serta menikmati keindahan bahasa tersebut. Dalam konteks P&P bahasa Arab di Malaysia, aspek penjiwaan bahasa merupakan elemen yang sangat penting kerana bahasa Arab bukan sekadar mempelajari ilmu nahu, sarf dan balaghah, sebaliknya ia memerlukan kepada penghayatan dan penjiwaan terhadap ilmu-ilmu tersebut. Namun, aspek penjiwaan bahasa Arab adalah bersifat subjektif kerana tiada standard tertentu untuk mengukur penjiwaan seseorang terhadap bahasa Arab. Justeru itu, makalah ini bertujuan untuk meninjau pemahaman tentang aspek penjiwaan bahasa dalam kalangan guru bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mengenalpasti elemen penerapan aspek penjiwaan bahasa dalam mempelajari bahasa Arab. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengemukakan beberapa cadangan yang perlu diterapkan dalam proses P&P bahasa Arab bagi membolehkan pelajar menjiwainya dengan baik. Metode yang digunakan dalam kajian ini adalah edaran borang soal selidik kepada guru-guru bahasa dan analisis data tersebut secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan terdapat beberapan pandangan berkenaan konsep penjiwaan bahasa dan beberapa elemen yang perlu diterapkan dalam proses P&P bahasa Arab dari segi kurikulum, teknik pengajaran dan pembudayaan Arab. Hasil tinjauan ini boleh dijadikan panduan kepada tenaga pengajar dan pelajar dalam usaha meningkatkan kualiti P&P bahasa Arab serta meningkatkan minat para pelajar dalam mendalami bahasa Arab
Penjiwaan, Bahasa, Elemen, Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Kesan